Konsert Konsert Alam Muzik M. Nasir

Idea untuk konsert ini mula tercetus pada 2007.[1] Ia diumumkan oleh pengerusi Boxoffice Malaysia merangkap pengarah dan penerbit konsert, Ali Bakar dalam satu sidang media yang diadakan pada 15 Januari 2009. Dalam sidang media itu, memorandum persefahaman (MoU) antara New Straits Times Press (NSTP) dan Boxoffice Malaysia telah dimeterai.[8]

Turut hadir ialah ketua pegawai eksekutif NSTP, Anthony Firdaus Bujang; ketua pengarang kumpulan, Hishamuddin Aun; pengerusi AirAsia, Aziz Bakar dan M. Nasir sendiri.[9] Nasir dipetik oleh New Straits Times sebagai berkata "konsert ini ialah refleksi muzik saya selama bertahun-tahun" sambil menambah ia terbuka kepada permintaan.[8]

Konsert Alam Muzik pada mulanya dijadualkan akan berlangsung pada Oktober 2008, namun ditunda atas pelbagai faktor termasuk masalah penajaan dan kekurangan dana. Untuk konsert ini, M. Nasir memilih untuk menonjolkan diri sendiri dalam persembahan tanpa membabitkan penyanyi undangan lain, selain tidak mahu terlalu memikirkan soal penaja dalam membantu jualan tiket konsertnya.[10] Persembahan ini diuar-uarkan sebagai konsert mega M. Nasir sejak konsert Andalusia yang berlangsung pada 2000 di Stadium Negara.[11] Ini juga menandakan kali pertama beliau membuat persembahan di Istana Budaya.[1]

M. Nasir berkata mengenai konsert ini: “Konsert ini bakal mengungkap perjalanan muzik saya dari dulu hingga kini. Sejak mula membabitkan diri dalam bidang seni, saya melalui pelbagai frasa dalam penciptaan lagu. Pelbagai genre lagu sudah saya cipta dan selami kerana saya memang gemar menyuntik elemen baru dalam setiap karya saya,". Konsert Alam Muzik menandakan kerjasama kelima M. Nasir bersama Boxoffice Malaysia.[12]

Untuk mempersiapkan diri menjelang malam konsert, M. Nasir mengadakan sesi latihan persembahan di ibu pejabat Luncai Emas sebagai persediaan awal, beliau bersama 14 pemuzik lain mula menyesuaikan diri dalam keadaan di Istana Budaya. Konsert Alam Muzik berlangsung pada 27 Februari hingga 1 Mac 2009 selama tiga malam berturut-turut dengan Ali Bakar menggalas peranan sebagai pengarah dan penerbit bersama Aznan Alias selaku pengarah muzik.[13] M. Nasir mempersembahkan sebanyak 30 lagu daripada 1,500 koleksi lagu ciptaan dalam simpanannya dengan iringan daripada 10 pemuzik profesional di bawah bimbingan Aznan.[14]

Rujukan

WikiPedia: Konsert Alam Muzik M. Nasir http://bharian.com.my/sisipan/bintangpopular/Sunda... http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/... http://www.bharian.com.my/sisipan/bintangpopular/S... http://www.bharian.com.my/sisipan/bintangpopular/S... http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&d... http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&d... http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/2/2... http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt... http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt... https://praharaseni.blogspot.com/2009/01/18-penaja...